Bagi mengatasi masalah ini dan meningkatkan lagi keselamatan dan identiti produk yang berdaftar dengan PBKD, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil satu langkah proaktif dengan memperkenalkan dan mewajibkan penggunaan pelekat label keselamatan Hologram Meditag TM pada semua produk farmaseutikal. Hologram ini yang mempunyai pelbagai ciri keselamatan yang boleh diperhatikan oleh pengguna dan pegawai penguatkuasa farmasi telah mula digunakan pada 1 Mei 2005.
Hologram MeditagTM ini yang dikeluarkan oleh syarikat Mediharta Sdn Bhd hanya dibekalkan kepada pengilang yang mempunyai lesen GMP (Amalan Pengilangan Baik) ataupun pengimport yang dilesenkan oleh KKM bagi memastikan ia tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pelekat label Hologram MeditagTM mempunyai ciri keselamatan yang tinggi dan setiap satu diberikan nombor siri. Pada 1 September 2006, hologram versi pertama telah digantikan dengan versi kedua yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan sebagai langkah tambahan untuk memudahkan pengguna dan mengelakkan pengeluaran pelekat hologram tiruan. Penggunaan hologram MeditagTM ini telah berjaya memudahkan pengguna untuk mengenal pasti produk-produk farmaseutikal yang berdaftar selain membantu pegawai penguatkuasa farmasi mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap produk-produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dengan KKM.